PRODUK BAKERY HALAL

Kilang roti, TKS Food & Bakery mengeluarkan 20,000 bungkusan sebulan bagi menampung permintaan bakeri di seluruh Selangor.

Pengerusi Eksekutif rangkaian perniagaan TKS (Terima Kasih Semua), Wan Azrin Omar berkata, penghasilan produk keluaran syarikatnya adalah sebagai menampung permintaan yang semakin meningkat dari hari ke hari.

“Setiap hari kami menghasilkan 1,000 bungkusan roti pelbagai jenis yang dipasarkan di kedai-kedai makan, restoran dan kedai serbaneka.

“Penghasilan produk bakeri Muslim masih lagi kurang di pasaran sedangkan permintaan terhadap roti dan kek halal sangat tinggi,” katanya.

Kilang yang beroperasi di Ulu Yam itu diambil alih daripada pemilik asal pada awal tahun ini setelah melihat pasaran produk tersebut begitu meluas.

Menurut Wan Azrin, roti hasil tangan Bumiputera sangat sedikit berbanding kaum lain yang memonopoli bidang tersebut sejak sekian lama.

“Selepas melihat sendiri pembuatan roti, saya merasakan ia suatu perkara yang unik apatah lagi margin tinggi dengan permintaan yang luas terdiri daripada pelbagai lapisan bangsa.

“Roti Hailam antara roti yang mendapat permintaan tinggi daripada 20 jenis produk bakeri yang kami hasilkan,” katanya.

Syarikat itu turut menghasilkan roti burger, oblong dan bun berinti serta tujuh jenis kek.

Wan Azrin berkata, matlamatnya adalah untuk meluaskan lagi pasaran roti buatan Bumiputera terutamanya roti Hailam.

“Memandangkan kami adalah syarikat Bumiputera dan ia menjadi tanggungjawab kami untuk mengeluarkan produk yang dijamin halal dan bersih kepada orang Islam, khususnya.

“Perancangan kami akan datang adalah untuk menaik taraf kualiti roti dan pembungkusan yang lebih menarik untuk mengkomersialkan produk ini ke tahap lebih tinggi,” katanya.
 
image 1