LALUAN BATANG KALI – GENTING DIJANGKA DIBUKA AKHIR
JUN 2024
BATANG KALI, SELANGOR, 29 April 2024 - YB Datuk Seri Ahmad Maslan, Timbalan Menteri Kerja Raya hari ini telah turun padang meninjau kemajuan kerja Projek Baikpulih Cerun Laluan B66, Jalan Batang Kali – Genting yang telah runtuh pada awal pagi 16 Disember 2022.
2. Hasil tinjauan mendapati kerja-kerja fizikal di tapak telah mencapai kemajuan sebanyak 86.2%. Terdapat sedikit kelewatan disebabkan pihak kontraktor mengalami isu pembekalan bahan binaan wall system yang tidak tiba di tapak mengikut jadual. Namun begitu, kontraktor telah memberi komitmen untuk menyiapkan kerja dengan penambahan pekerja dan jentera di tapak sebagai langkah penyelesaian.
3. Jangkaan tarikh siap realistik adalah pada akhir Jun 2024 bersekali dengan pembukaan semula laluan B66 Jalan Batang Kali – Genting kepada semua pengguna jalan raya. Laluan tersebut buat masa kini hanya dibuka kepada pengguna jalan raya yang berkerja di Kawasan Genting, Pahang dengan pengesahan surat majikan masing – masing.
4. Projek pembaikan cerun ini menggunakan kaedah Terralink Wall System secara Reka dan Bina dengan nilai projek sebanyak RM19juta. Kontraktor telah memulakan kerja – kerja ditapak sejak 29 Mei 2023.
5. Selepas insiden tanah runtuh di Batang Kali pada Disember 2022, satu Jawatankuasa Kumpulan Kerja Tanah Runtuh (JKKTR) telah ditubuhkan untuk menjalankan penyiasatan dan menyediakan laporan forensik bagi kejadian tersebut.
6. Penghasilan Laporan Forensik Tanah Runtuh ini adalah hasil daripada gabungan / kerjasama daripada 14 Agensi (Kerajaan, NGO dan Universiti) di bawah JKKTR di mana JKR melalui Cawangan Kejuruteraan Cerun telah ditugaskan sebagai Pengerusi jawatankuasa tersebut. Laporan Akhir telah dikemukakan kepada NADMA pada 12 November 2023 di mana akses capaian dibuka kepada umum di portal NADMA bermula pada 18 November 2023.
KEMENTERIAN KERJA RAYA MALAYSIA I Foto dari Pejabat YBTM KKR.